HAKIKAT KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan
Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa
yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak
berhenti-henti berjuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan.
Tetapi hingga kini, masih ramai di kalangan bangsa yang masih belum kenal erti
kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam
penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk
beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.
Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk
memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang
mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali
sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah
melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini
kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat
hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai
umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk
menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih
hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan
sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran
mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala,
membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman
musuh.
Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan
semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat
semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam
telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah
daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa'
ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan
negara dari cengkaman kekufuran.
Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain
bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu,
Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan,
sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang
diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam
syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya
bangsa kerana runtuhnya akhlak"
Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk
membebaskan diri daripada sifat-sifat
yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu
amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah
arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah
sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan
terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada
manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan
oleh agama kita.
Wallahu a'lam.
http://www.al-azim.com/masjid/hakikatmerdeka.html
No comments:
Post a Comment