Saturday, December 21, 2013

KAMPUNGKU BUKIT TEMBAGA


Teater "Bukit Tembaga" yang telah dipentaskan pada 27 & 28 Disember 2013 adalah adaptasi dari Novel "Bukit Tembaga" karya Allahyarham Tan Sri Zahir Ismail, mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Kisah "Bukit Tembaga" ini merupakan satu roman sejarah yang memaparkan kisah sebenar yang berlaku pada dekad lima puluhan yang diceritakan semula oleh mereka yang masih hidup hingga ke hari ini ataupun melalui penceritaan keluarga terdekat yang telah mendengar cerita dari mereka yang telah meninggal dunia. Banyak peristiwa diterapkan dalam novel ini yang boleh dijadikan iktibar kepada generasi masa kini dan akan datang. Melalui peristiwa-peristiwa itu seharusnya kita dapat mengetahui betapa besarnya pengorbanan mereka untuk mengasaskan keadaan mewah, makmur dan aman yang sedang kita kecapi pada masa sekarang. Keadaan ini mestilah dikekalkan buat selama-lamanya.



Novel "Bukit Tembaga" telah lancarkan pada 23 Januari 1995 bersamaan 27 Syaaban 1415 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman sempena Hari Ulangtahun Keputeraan baginda yang ke 67 bertempat di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah


Saya berpeluang menyaksikan pementasan Teater "BUKIT TEMBAGA" pada 28/12/2013 di Auditorium Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara Kedah, Pumpong, Alor Setar. Tahniah & Syabas kepada semua pelakon dan tenaga produksi yang telah menjayakan teater tersebut. 


MAKLUMAN PENTING:

Sebagai seorang pewaris peneroka asal Bukit Tembaga saya rasa amat simpati dan terkilan apabila menerima teguran keras oleh keluarga yang terlibat atas penggunaan bukan nama asal untuk isteri watak Saad dalam penulisan novel sejarah dan pementasan teater "Bukit Tembaga" di atas. Penggunaan nama "Midah" sebagai isteri Saad telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebab nama sebenar isteri Saad adalah Bashah. Saranan saya supaya Penulis dan pihak Penerbit novel sejarah ini lebih berhati-berhati dan sensitif atas nama seseorang yang akan diguna dalam satu penulisan. Memandangkan penulis novel ini dan kebanyakan watak utama dalam novel ini telah kembali ke rahmatullah, jalan cerita yang sebenar dan nama-nama watak yang ditampilkan tidak dapat dipastikan. Walau bagaimanapun pihak Penerbit novel sejarah "Bukit Tembaga" MESTI guna nama sebenar bagi watak isteri Saad iaitu Bashah pada cetakan-cetakan akan datang. Harap Maklum.